Chong Kin mahu raih lebih banyak kejayaan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


MENYINGKIRKAN enam pemain Eropah dan muncul juara Terbuka Hellas di Greece nyata memberi pengalaman yang cukup bermakna buat perseorangan lelaki negara, Lim Chong King.

Lebih manis kejohanan yang berlangsung di Greece itu adalah kejuaraan peringkat senior sulung buatnya mengalahkan rakan senegara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, semalam.

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, kepenatannya terus hilang apabila merangkul kejuaraan kelmarin walaupun terpaksa mengharungi keseluruhan tujuh perlawanan termasuk ketika di pusingan kelayakan.

"Pada aksi semalam saya bermula dengan agak perlahan dan berjaya meningkatkan prestasi ketika di set kedua serta penentuan.

Dalam masa sama saya pun lihat Aidil sudah kepenatan," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ujar pemain berada di ranking ke-369 dunia itu, motivasi untuk merangkul kejuaraan itu datang dari dalam dirinya sendiri selain keluarga sering memberi sokongan moral terutama sekali selepas dia diletakkan di bawah bimbingan Hendrawan.

"Memang prestasi saya banyak meningkat sejak diletakkan di bawah bimbingan Hendrawan dan berlatih bersama pemain senior seperti Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven.

"Apa yang saya nampak perubahan paling ketara adalah kepantasan.

Begitu juga pengalaman untuk bermain di pentas antarabangsa, sedikit sebanyak ia semakin diperbaiki," kata Chong King.

Selepas Terbuka Hellas, Chong King dan Aidil akan meneruskan aksi mengambil bahagian di Terbuka Bulgaria minggu ini dan kedua-dua mereka sekali lagi bakal beraksi bermula dari pusingan kelayakan.

Dia mula mendapat perhatian media dan dikatakan salah seorang calon mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei.

Chong King turut mengalahkan beberapa pemain senior termasuk Andre Marteen (Indonesia) di Siri Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 6:06 PM