Milunovic mahu pastikan Melaka raih tiga. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PEMAIN import Melaka, Luka Milunovic mahu memastikan skuadnya meraih tiga mata pada perlawanan ketiga kumpulan D Piala Malaysia berdepan FELDA United, Sabtu ini.

Walaupun berdepan saingan sengit beraksi di tempat lawan, dia mahu menebus kehampaan tewas kepada Selangor 0-1 di Stadium Hang Jebat, minggu lalu.

Menurutnya, azamnya tetap tinggi bagi melepasi saingan kumpulan seterusnya mara ke suku akhir, walaupun keputusan tidak memihak pasukan ketika bertemu The Red Giants sebelum ini.

"Kini fokus terarah bagi mendepani aksi 90 minit di Jengka.

Kebiasaan beraksi di gelanggang lawan memberi kelebihan kepada tuan rumah, namun ia bukan halangan untuk Melaka selaku pelawat mencipta kemenangan.

"Menang dan tewas lumrah bola sepak apa yang penting kesungguhan dan komitmen memastikan usaha memperolehi kejayaan walaupun bersaing di gelanggang mana sekalipun," katanya.

Apa yang pasti nasib tidak menyebelahi skuad Hang Tuah yang kecundang di tangan The Red Giants selepas mengasak hebat kubu pelawat.

Malah, pemain dari Serbia itu yang mengisi tempat sebagai penyerang utama menggantikan Davy Angan yang masih cedera tetap beraksi cemerlang dalam perlawanan terbabit.

Dua rembatan bahayanya bagaimanapun gagal menembusi gawang Selangor selepas penjaga gol lawan, Khairul Azhan Mohd Khalid bertindak cemerlang menafikan percubaan terbabit.

Bekas pemain bawah 21 tahun Serbia itu dijangka terus mengisi tempat Angan dalam masa sama dia positif berjaya meningkatkan keserasian lebih padu bagi membuahkan hasil positif di Jengka.

Milunovic yang pernah beraksi di Liga Serbia, Belgium dan Greece termasuk bersama pasukan OFK Beograd, Zulte Waregem, Aris, Platanias dan Red Star itu mengulangi keazaman untuk terus bertindak cemerlang setiap kali diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 10:29 PM