MURRAY (kiri) berjabat tangan dengan Gasquet selepas tamat pelawanan. - FOTO AFP
AFP

JUARA Grand Slam tiga kali, Andy Murray yang kembali beraksi dalam acara perseorangan tewas 4-6, 4-6 kepada Richard Gasquet di pusingan pertama Masters Cincinnati, awal pagi tadi.

Pemain Britain itu tidak beraksi acara perseorangan selama tujuh bulan selepas mengalami kecederaan pangkal paha yang dialami ketika tewas pusingan pertama Terbuka Australia pada Januari lalu.

Selepas menjalani pembedahan pada 28 Januari, Murray lebih berhati-hati dengan hanya menyertai acara beregu sejak dua bulan lalu dan muncul juara di Queen's Club, London bergandingan bersama Feliciano Lopez.

Bagaimanapun, Gasquet terlalu kuat buat pemain berusia 32 tahun itu yang menjuarai kejohanan sama pada 2008 dan 2011 tetapi kini menduduki ranking ke-324.

Murray memulakan permainan dengan kesalahan berganda dan pukulan kilasnya terkena jaring memberikan mata akhir kepada Gasquet yang menduduki ranking ke-56 dunia.

Servis Murray kemudiannya tersasar sekali gus mengakhiri perlawanan dalam masa 96 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:05 AM