AKSI Maria membalas hantaran Alison di Lindner Family Tennis Center di Mason, Ohio. - FOTO AFP
Reuters

MARIA Sharapova menewaskan Alison Riske 6-3, 7-6(4) di Cincinnati Masters awal pagi tadi bagi menempah pertembungan pusingan kedua dengan pemain nombor dua dunia, Ashleigh Barty yang mengatasi pemain Rusia itu di Terbuka Australia tahun ini.

Maria yang agak bergelut dengan ketepatan pukulan meledak beberapa servis kencang dan bertahan dengan kental selepas pertama kali beraksi di kejohanan itu dalam tempoh lima tahun.

Pemain wild card, Alison hampir mengheret perlawanan ke set ketiga ketika dia melakukan servis pada kedudukan 5-3 dan 15-0 di set kedua tetapi Maria enggan mengalah dengan memaksa ‘tiebreaker’.

Bekas pemain nombor satu dunia dan juara lima kali Grand Slam, Maria memanfaatkan mata akhir keempat untuk menempah pertemuan dengan pilihan utama, Ashleigh.

Ashleigh menewaskan Maria pada pusingan keempat Terbuka Australia pada Januari lalu dan kedua-duanya mengambil peluang mengasah permainan menjelang Terbuka Amerika Syarikat bulan ini.

Seorang lagi bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki tewas mengejut di tangan pemain remaja Ukraine, Dayana Yastremska 4-6, 4-6.

Pemain bukan pilihan dari Denmark itu mempunyai peluang tetapi hanya memanfaatkan empat daripada 15 mata break ketika menentang Dayana yang beraksi kali pertama di Cincinnati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 12:41 PM