Hendrawan (kanan) tidak mahu Chong King terlalu ghairah. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


KEJAYAAN Lim Chong King meraih kejuaraan sulung peringkat senior di Terbuka Hellas disambut dengan sedikit kegusaran buat jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu tidak mahu terlalu gembira dengan kejayaan anak buahnya itu dan menganggap ia baru satu permulaan yang tidak harus diperbesarkan.

“Ia baru bermula (pencapaian Chong King), tidak perlu terlalu diperbesarkan,” kata bekas juara dunia itu ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Beliau mengakui perjalanan pemain berusia 19 tahun itu masih lagi panjang dan perlu meneruskan usaha keras di dalam latihan.

“Dia perlu tetap kerja keras dan meningkatkan kualiti di dalam latihan,” kata Hendrawan yang diamanahkan untuk membimbing pemain senior kecuali Chong King.

Kegusaran Hendrawan mengenai kejayaan pertama Chong King ada benarnya apabila kelahiran Kuala Lumpur itu terkandas di peringkat kelayakan Terbuka Bulgaria.

Tidak sampai seminggu kejayaan di Greece, Chong King terpaksa akur dan mungkin kepenatan selepas mengharungi tujuh perlawanan berturut-turut minggu lalu termasuk mengalahkan rakan senegara, Aidil Sholeh Ali Sadikin di pentas final.

Chong King, hari ini tumpas kepada wakil India, Swarnaraj Bora 9-21, 21-18, 20-22 di perlawanan ketiga pusingan kelayakan.

Selain Chong King, Hendrawan turut melatih tiga pemain senior iaitu Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei.

Meneruskan aksi di Terbuka Bulgaria ialah Aidil Sholeh selepas dia berjaya melepasi pusingan kelayakan dan berdepan wakil Republik Czech, Jan Louda di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 5:26 PM