Bauman (kiri) dan Rodriguez diarah pertingkat ketajaman. FOTO NSTP
Izzali Ismail


KETUA jurulatih, Aidil Sharin Sahak mahu jentera serangan Kedah meningkatkan ketajaman bagi membantu Kedah memburu gol pada aksi kumpulan A Piala Malaysia menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Kekalahan mengejut 0-2 Kedah kepada Terengganu FC minggu lalu jelas memaksa skuad Lang Merah untuk bangkit lebih fokus memperkemaskan aspek serangan dan pada masa yang sama turut mahu mengukuhkan benteng pertahanan.

"Saya sudah memberi amaran kepada penyerang Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman selepas kami tewas kepada TFC minggu lalu agar mereka lebih fokus dan mempertingkatkan aspek ketajaman serangan dalam usaha memburu tiga mata berdepan PKNS kali ini.

"Kekalahan kepada Terengganu FC minggu meninggalkan kesan kepada pasukan dan juga penyokong di laman sendiri.

"Saya berharap dengan semangat baharu diperolehi, skuad harus bangkit melenyapkan kekecewaan lalu dan tiga mata menjadi sasaran utama di tempat lawan.

Dalam perkembangan yang sama Aidil boleh menarik nafas lega kerana pemain pertahanan Renan Alves bakal beraksi untuk perlawanan menentang PKNS FC meskipun ada ura-ura mengatakan beliau tidak dapat diturunkan akibat penggantungan kad kuning.

“Ya, Alves boleh beraksi untuk perlawanan ini kerana baharu dua kali beliau menerima kad kuning. Jadi, menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dia boleh diturunkan.

"Namun kita juga terpaksa berdepan kesukaran apabila Azmeer Yusoff masih belum pulih dari kedederaan kaki yang dialaminya sebelum aksi menentang Terengganu FC minggu lalu.

"Selain Azmeer, Kedah juga berhadapan isu kecederaan beberapa pemain lain seperti pemain sayap Farhan Roslan dan Azamuddin Akil, termasuk juga pemain tengah David Rowley yang masih belum pulih," katanya.

Dua perlawanan lalu dalam kumpulan A menyaksikan Kedah kini memungut tiga mata dengan menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 3 Ogos lalu dan tewas 0-2 kepada Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:42 PM