Malaysia mencerahkan peluang ke empat terakhir tewaskan Australia. FOTO FB NFDP
Firdaus Hashim


DUA jaringan sensasi Luqman Hakim Shamsudin dan satu menerusi Muhammad Azam Azmi Murad mencerahkan laluan skuad bawah 18 (B-18) tahun negara ke separuh akhir Kejuaraan AFF B-18 selepas membenam Australia 3-0 di Stadium Thanh Long, Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.

Luqman yang kini menjadi buruan kelab Liga Satu Jepun (J1), Cerezo Osaka nyata menjadi duri dalam daging sekaligus menghadiahkan tiga mata penuh buat mengumpul sembilan mata selepas mengharungi empat aksi dalam Kumpulan B.

Berdasarkan kedudukan terkini, tiga pasukan teratas kumpulan iaitu Malaysia, Australia dan tuan rumah Vietnam masih berpeluang muncul dua pasukan terbaik dengan anak buah Brad Maloney wajib menewaskan Thailand pada aksi terakhir, Khamis ini bagi meraih slot ke pusingan kalah mati.

Selepas merehatkan hampir separuh pemain utama ketika menewaskan Kemboja 3-0 Ahad lalu, Maloney sekali lagi bijak merencanakan strategi berdepan The Socceroos dengan memilih gerakan serangan balas kilat sebagai senjata.

Malaysia yang banyak menyerap asakan pada 15 minit pertama akhirnya mengejutkan Australia apabila hantaran jauh Mohd Nasip Mohammad Zain dari bawah berjaya dihidu Luqman yang tenang menewaskan penjaga gol, Jackson Henry di m-17.

Selang 10 minit kemudian, skuad negara melebarkan kedudukan menerusi ledakan padu Azam yang memanfaatkan dengan baik sepakan sudut Muhammad Firdaus Kaironnisam.

Australia yang sebelum ini cemerlang memenangi tiga aksi tanpa kalah terus dikejutkan dengan gol ketiga sekali lagi menerusi gerakan Luqman yang bijak memperdayakan pertahanan sebelum meledak gol pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Australia cuba meningkatkan tekanan dengan memperagakan aksi lebih keras.

Bagaimanapun, ketua pasukan negara yang juga penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan barisan pertahanan tampil ampuh hingga tiupan wisel penamat sekaligus meneruskan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:57 PM