DANILO ketika beraksi bersama Manchester City. - FOTO Agensi
AFP

PERTAHANAN Brazil, Danilo berkata, peluang beraksi bersama bekas rakan sepasukan di Real Madrid, Cristino Ronaldo menjadi salah satu faktor utama dia berpindah ke Juventus.

Pemain berusia 28 tahun itu ditandatangani juara Itali itu dari Manchester City dengan pertahanan kanan Portugal, Joao Cancelo menjadi milik Citizens.

"Saya bercakap dengan Ronaldo sebelum datang ke sini,” kata Danilo dalam sidang akhbar di Turin awal pagi tadi.

"Dia bercakap mengenai reputasi Juventus dan beraksi bersamanya menjadi motivasi tambahan.”

Pemain Brazil itu menjuarai Liga Juara-Juara dua kali bersama pemenang lima kali Ballon d'Or di Real Madrid sebelum berpindah ke England.

"Saya mengusiknya dengan mahu memakai jersi nombor tujuh tetapi ia sudah dimiliki,” kata Danilo yang memakai jersi nombor 13.

Danilo sebahagian anggota skuad City yang menjuarai lima trofi domestik sejak dua musim lalu tetapi menjadi pemain kedua di samping Kyle Walker di posisi pertahanan kanan.

Dia yakin berpindah ke Itali dan beraksi di bawah kendalian bekas pengurus Napoli dan Chelsea, Maurizio Sarri hadir pada masa yang tepat.

"Sarri dan (Pep) Guardiola mempunyai cara sama dan apa mereka mahukan ketika perlawanan. Kedua-duanya suka mengawal permainan dan bagi saya ia positif.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 9:11 AM