AKSI Djokovic ketika menentang Querrey di Lindner Family Tennis Center. - FOTO Agensi
Reuters

NOVAK Djokovic bangkit daripada permulaan hambar sebelum menewaskan Sam Querrey 7-5, 6-1 di Masters Cincinnati, awal pagi tadi.

Juara bertahan dan pemain nombor satu dunia itu beraksi kali pertama sejak menjuarai Wimbledon bulan lalu meledak ace ke-15 pada mata akhir dalam cuaca panas.

"Saya melakukan tiga kesalahan berganda pada ‘game’ pembukaan dan kehilangan servis. Saya agak gemuruh pada permulaan,” katanya ketika ketinggalan 0-2 kepada pemain Amerika Syarikat itu. "Saya berasa lega dapat mengatasi cabaran seperti ini.”

Djokovic yang menewaskan Roger Federer pada final epik di Wimbledon berkata dia perlukan masa untuk pulih kesan daripada perlawanan itu.

"Ia salah satu aksi paling epik pernah saya hadapi yang memerlukan kekuatan mental,” katanya mengenai kejayaan lima set itu.

"Jadi saya perlukan masa agak lama untuk saya cas bateri terutamanya di kepala. Badan saya tiada masalah.”

Dalam satu lagi perlawanan, pemain Switzerland, Stan Wawrinka menewaskan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov 5-7, 6-4, 7-6(4) dalam aksi ‘roller-coaster’ pusingan pertama.

Pemain muda Amerika Syarikat, Frances Tiafoe menewaskan pemain Perancis, Gael Monfils 7-6(7), 6-3 dan pemain Kanada, Denis Shapovalov bangkit mengatasi cabaran pemain Portugal, Joao Sousa 2-6, 6-3, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 9:37 AM