PAULO Dybala ketika beraksi pada perlawanan pesahabatan Juventus A dan Juventus B di Villar Perosa. FOTO AFP
AFP

PAULO Dybala mengetepikan spekulasi berhubung masa depannya dengan jaringan berganda buat Juventus ketika Cristiano Ronaldo dan dua pemain baharu Aaron Ramsey dan Matthijs de Ligt direhatkan pada perlawanan tradisi pembuka tirai awal pagi tadi.

Hampir 5,000 penyokong memenuhi stadium"Gaetano Scirea" di Villar Perosa di kaki pergunungan Alps Itali, perlawanan persahabatan tahunan membabitkan pasukan utama Juventus dengan skuad remaja B yang berkesudahan kemenangan 3-1 oleh pemain senior.

Dybala dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, Tottenham Hotspur dan Paris Saint-Germain, tetapi dengan kain rentang bertulis ‘Kekal bersama kami Paolo’, pemain berusia 25 tahun itu meledak gol sulung menerusi penalti seawal minit ke-14.

Skuad remaja itu kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 selepas pertahanan terbaharu Juventus dari Turki Merih Demiral tertolak bola ke gawang sendiri.

Namun Dybala menambah gol kedua menjelang tamat separuh masa pertama dan Juan Cuadrado menjaringkan gol ketiga menerusi rembatan jarak dekat sebelum perlawanan tamat pada minit ke-51 menerusi acara tradisi di mana penyokong menyerbu masuk ke padang.

“Dia pemain Juve, dia pemain Juventus yang hebat,” kata pengarah sukan Fabio Paratici mengenai Dybala.

“Apa yang berlaku kepada Dybala adalah apa yang berlaku kepada semua pemain ketika jendela perpindahan.

“Ada khabar angin, ada perbincangan, ada rundingan. Pasaran terbuka, ada yang menunjukkan minat tetapi tiada nama yang hampir untuk dijual.”

Kelab gergasi Turin itu akan menentang kelab Serie C Triestina awal pagi Ahad sebelum memulakan misi memburu gelaran liga kesembilan berturut-turut menentang Parma 24 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 12:16 PM