LEE Zii Jia ketika latihan persiapan ke Piala Dunia di Basel Swizerland di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Tidak ada yang mustahil, itulah pegangan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelang Kejohanan Dunia minggu depan di Basel, Switzerland.

Beliau mengakui pemain muda yang layak beraksi di kejohanan berkenaan mempunyai peluang mencipta sejarah menjadi juara dunia pertama Malaysia selepas beberapa kali percubaan sebelum ini menemui kegagalan.

“Saya mengharapkan impak positif dan seperti mana kita tahu, Malaysia masih belum mempunyai juara dunia. Paling terbaik ialah mara sehingga perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui Arena Metro di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

Beliau berkata, pemain muda seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) harus mempunyai semangat berani untuk menggapai impian seterusnya mencatat sejarah meraih kejuaraan dunia.

“Kemampuan beregu lelaki dan campuran tidak banyak bezanya dengan pasangan lima terbaik dunia, jadi seharusnya mereka menggunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Jangan fikir perbezaan usia atau pemain terlalu muda tidak boleh untuk memenangi kejohanan ini,” kata Norza.

Selain Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, turut beraksi di Kejohanan Dunia ialah Liew Daren (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Arif Latif-Azriyn Ayub (beregu lelaki), Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pencapaian terbaik Malaysia di Kejohanan Dunia ialah lapan kali meraih gelaran naib juara melalui Wong Choong Hann, Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, Soon Kit-Yap Kim Hock dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki).

Kejohanan Dunia buat kali ke-25 ini bermula 19 hingga 25 Ogos dan rata-rata pemain negara sudah berlepas ke Basel semalam.

Sementara itu, BAM menggunakan pendekatan serampang dua mata dalam menyenaraikan pemain ke Sukan SEA Filipina 2019 apabila turut menyenaraikan pelapis ke temasya itu.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, pemain pelapis seperti Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan S Kisona sudah membuktikan kemampuan masing-masing di kejohanan antarabangsa.

“Memang saya sudah berikan platform kepada mereka dan setakat ini mereka menunjukkan semangat membara seperti dahagakan kemenangan,” katanya ketika ditemui Arena Metro di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:40 AM