Mohammad Fayadh (kanan) diasak pemain import Terengganu, Lee Andrew Tuck pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Malik Muhamad


ARKITEK Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui teruja dan tidak sabar bertemu bekas pasukannya, Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu menyatakan dia tidak akan sesekali memberi layanan 'istimewa' kepada skuad Hobin Jang Hobin itu sebaliknya tekad mahu membedil pasukan itu.

"Saya sangat teruja dan tidak sabar bertemu kembali dengan kelab lama saya selepas hampir setahun tidak bertemu kerana berlainan liga.

"Seperti mana dengan kelab saya sekarang TFC, saya juga gembira ketika bersama pasukan itu dan banyak kenangan manis bersama mereka, pastinya ia sesuatu yang menarik apabila menentang pasukan itu.

"Matlamat saya mudah iaitu untuk tambah mata, jadi fokus saya kini ialah untuk menang bertemu Negeri Sembilan terlebih dahulu bagi mengintai peluang lebih awal layak ke suku akhir," ujar Tuck yang juga kapten skuad itu.

Sebelum menyarung jersi skuad Penyu musim lalu, pemain berusia 31 tahun yang memulakan karier bersama kelab Halifax Town di England adalah tonggak utama skuad Hobin Jang Hobin pada 2017.

"Keyakinan saya dan rakan sepasukan kini sangat tinggi, ia dapat dilihat daripada dua perlawanan sebelum ini terutama ketika menewaskan Kedah 2-0 biarpun beraksi dengan sepuluh pemain, ia sangat menakjubkan.

"Kesungguhan dan kerjasama harus dikekalkan selain kami tidak boleh leka dengan situasi selesa kerana ia boleh mengundang duka buat kami dalam misi untuk mendapat tiga mata.

"Justeru harus diingat walaupun lawan hadir daripada Liga Perdana, mereka pasukan yang kuat, justeru kami perlu terus fokus dan menyelesaikan tugas kami dengan baik pada malam itu," kata Tuck.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 1:02 PM