Pemain PKNS FC Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (kanan) cuba menghalang pemain Kedah Mohamad Zaquan Adha Abd Razak dalam aksi Piala Malaysia. FOTO Bernama
Syazwan Msar


PKNS gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 ketika menerima kunjungan Kedah dalam saingan kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan hijau kuning yang juga juara Piala FA 2019 terlebih dahulu berada di depan menerusi tandukan Fernando Rodriguez hasil hantaran Baddrol Bakhtiar pada minit 20.

PKNS yang tersentak dengan jaringan lawan melancarkan serangan bagi mendapatkan gol penyamaan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung menyaksikan tuan rumah tampil lebih sistematik apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.

Anak buah Datuk K Rajagobal perlu menunggu sehingga minit 69 untuk menyamakan kedudukan hasil rembatan Romel Oswaldo Morales yang gagal di tepis kemas oleh Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

PKNS yang mengharapkan kemenangan untuk menghidupkan peluang melangkah ke pusingan seterusnya hampir berada di depan pada minit 72 menerusi Kpah Sean Sherman namun Ifwat bertindak cemerlang menggagalkan cubaan terbabit sekali gus menyelamatkan gawang Kedah daripada dibolosi.

Kedah pula mempersiakan banyak peluang menambah jaringan sehingga kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan PKNS dan Kedah berkongsi empat mata manakala Terengganu pula terus mengungguli kumpulan B dengan enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 11:08 PM