BARCELONA bersetuju Coutinho dipinjamkan ke Bayern Munich. FOTO AFP
AFP

BARCELONA secara prinsipnya sudah bersetuju untuk menghantar Philippe Coutinho secara pinjaman ke Bayern Munich, umum kedua-dua kelab itu hari ini.

Coutinho diketepikan daripada skuad untuk aksi pembuka tirai Barca di La Liga menentang Atletic Bilbao awal pagi tadi dengan pengarah kelab Guillermo Amor mengesahkan pemain Brazil semakin hampir untuk menyertai Bayern.

“Kami boleh mengesahkan bahawa wujudnya persetujuan secara prinsipal untuk meminjamkan Coutinho ke Bayern dan kami perlu memuktamadkan kontrak itu,” kata Amor menjelang aksi di San Memes.

Pengarah sukan Bayern Hasan Salihamidzic turut mengesahkan kontrak pinjaman itu tidak lama selepas itu.

“Saya boleh mengesahkan bahawa kami berada di Barcelona dan mencapai persetujuan dengan pemain itu dan ejennya,” kata Salihamidzic selepas aksi pembuka tirai liga Bayern musim ini yang berkesudahan seri 2-2 dengan Hertha Berlin.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan Barcelona. Kami masih belum mendapatkan beberapa perkara seperti tanda tangan dan ujian perubatan tetapi kami gembira mendapat pemain sepertinya.”

Coutinho menyertai Barcelona dari Liverpool pada Januari 2018 dengan bayaran awal 120 juta euro (RM556.2 juta) dengan kemungkinan tambahan sebanyak 40 juta euro (RM185.3 juta).

Bagaimanapun di sebalik keterujaan menyambut ketibaan Coutinho, pemain itu sukar menempatkan dirinya di Nou Camp.

Mulanya diletakkan di bahagian tengah, Coutinho kemudiannya diserap dalam kelompok tiga penyerang utama oleh Ernesto Valverde musim lalu dalam usaha membantunya mendapatkan sentuhan terbaik.

Sebaliknya pemain berusia 27 tahun itu sering menjadi pemerhati dalam perlawanan dan ada yang membayangkan gaya permainan dan kedudukannya sama seperti Lionel Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 10:28 AM