Juri 'Grand Finale of Li-Ning THE NEX1 Talent Search 2019', pemain Badminton Negara, Woon Khe Wei (kiri) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. FOTO Mustaffa Kamal
Ferzalfie Fauzi


KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain muda untuk perseorangan lelaki di Sukan SEA Filipina 2019, langsung tidak mengguris perasaan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Sebaliknya, bekas pemain BAM itu bersetuju dengan pendekatan berkenaan terutama ketika bahagian perseorangan lelaki berada dalam kritikal selepas Datuk Lee Chong Wei bersara.

"Perkara seperti ini memang saya sangat bersetuju, malah saya pernah berjumpa dengan presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk meminta agar kami tidak perlu diambil dalam skuad Sukan SEA," katanya ketika ditemui media di Final Pencarian Bakat Li-Ning Nex1 hari ini.

Iskandar Zulkarnain yang pernah beraksi di Sukan SEA 2013 dan 2017, mengakui bahawa Malaysia tidak boleh mengulangi episod hanya mengharapkan kepada seorang pemain sahaja seperti apa yang berlaku kepada Chong Wei.

"Pada saya perseorangan lelaki negara berada dalam keadaan kritikal kita tidak mahu ia terjadi kepada Lee Zii Jia, sama seperti Chong Wei sebelum ini.

"Kita perlu terus memberi pendedahan kepada pemain yang berusia 19 hingga 20 tahun. Terus memikirkan mengenai masa depan, tidak perlu untuk seseorang pemain itu menunggu giliran. Saya gembira dengan keputusan BAM," katanya.

Pendapat Iskandar Zulkarnain senada dengan bekas pemain perseorangan lelaki, Roslin Hashim kelmarin yang turut bersetuju dengan tindakan BAM membuka ruang kepada pemain muda seperti Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin beraksi di temasya berkenaan.

Selain Chong King dan Aidil Sholeh, dua lagi pemain senior, Zii Jia dan Soong Joo Ven turut disenaraikan beraksi di temasya dwi tahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 7:48 PM