Dari kiri - Nur Amisha, Mohammed dan Rifdean memenangi pingat emas bagi kategori masing-masing di Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, hari ini. FOTO Ihsan Bernard Radin.
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENINJU Muay Thai Perak, Nur Amisha Azrilrizal dan Mohammad Rifdean Masdor serta peninju Kuala Lumpur, Mohammed Mahmoud membuktikan status mereka selaku jagoan Muay Thai apabila merangkul emas dalam Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, hari ini.

Nur Amisha, 17, yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Muay Thai Dunia 2016 di Bangkok, Thailand, berjaya menewaskan peninju tuan rumah Wong CK dengan kiraan mata 5-0 bagi kategori wanita 51 kilogram (kg).

Mohammad Rifdean, 17, kategori lelaki 48 kg dan Mohammed, 22, lelaki 67 kg masing-masing juga menewaskan peninju tuan rumah dengan kiraan mata yang sama.

Amisha dan Rifdean dibimbing Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin dilihat tidak mempunyai masalah menewaskan pesaing mereka walaupun fizikal lawan yang lebih tinggi.

Bernard ketika dihubungi berkata, dia berpuas hati dengan corak serangan dan kemahiran ditunjukkan kedua-dua anak didiknya itu.

"Mereka beraksi dengan cukup baik dan menampilkan kemahiran tinggi untuk menewaskan peserta tuan rumah.

"Selepas ini saya akan mempersiapkan mereka untuk Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia pula dan sekali lagi mahu mereka menampilkan aksi terbaik yang mereka mampu lakukan,” katanya yang kini berada di Hong Kong untuk kejohanan itu.

Bernard berkata, walaupun kedua-dua lawan memiliki fizikal yang lebih tinggi namun dia menerapkan kemahiran taktikal iaitu dengan menunggu serangan dari peninju lawan.

Menurutnya, ia sekali gus akan memberikan tekanan kepada lawan sehingga membolehkan serangan pantas dilakukan anak buahnya.

Sementara itu, Malaysia turut memenangi dua pingat gangsa bagi kategori wanita 45 kg dan lelaki 51 kg menjadikan jumlah keseluruhan pingat dibolot sebanyak tiga emas dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:03 PM