Aksi Arena FM (jersi biru) menentang Jebat FC pada perlawanan Liga MUSA. FOTO Ihsan MUSA
Nazri Abu Bakar


LAPAN pasukan bakal bersaing di peringkat suku akhir Liga Divisyen Dua, Liga Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang dijadualkan bermula 24 Ogos ini.

Saingan peringkat kumpulan A yang berakhir hari ini menyaksikan Arena FM menduduki tangga teratas, sementara Jebat FC, Seri Mayor dan MMU masing-masing di tangga kedua, ketiga dan keempat.

Dalam saingan kumpulan B pula, UTEM mengungguli carta teratas sementara Persibu, Panglima, White Star masing-masing di tangga kedua hingga keempat.

Aksi terakhir liga di Kompleks Sukan Paya Rumput menyaksikan Bara FC mengikat Arena FM dengan keputusan 2-2 dan Jebat FC yang berdepan MMU turut seri 1-1.

Sementara itu, pengurus Arena FM, Mohd Fazry Md Yunos berkata, kedudukan tangga teratas menjadi motivasi pemain berdepan White Star di suku akhir.

Katanya, bagaimanapun tiket berkenaan bukan petanda mudah laluan pasukan mengatasi lawan.

"Sasaran kami adalah untuk melepasi halangan dan mara ke separuh akhir selepas melalui ujian getir di peringkat kumpulan.

"Malah aksi tanpa kalah dalam kumpulan memberi keyakinan untuk meneruskan sasaran kami kembali ke Divisyen Satu 2020 selepas tersingkir ke Divisyen Dua musim ini.

"Apapun saingan tetap sengit daripada semua pasukan yang bertanding. Malah semua lawan turut berpeluang merekod kejayaan pada saingan kalah mati pada peringkat terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:10 PM