Skuad takraw negara yang beraksi di Piala Datuk Bandar di Hatyai.
Azlan Muhammad Zain


SKUAD sepak takraw mendapat suntikan moral apabila lulus ujian pertama tanpa kehadiran dua bekas tekong emas, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak yang digugurkan sejak Jun lalu.

Dua regu negara, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) A dan B, berjaya mara ke final Piala Datuk Bandar di Hatyai, Thailand, hari ini.

PSM A yang dibarisi Syahmi Husin, Norhafizi Abd Razak, Muqlis Borhan dan Muhammad Aizat Nordin (simpanan) menewaskan Forbes 2-0 (21-19, 21-12) di separuh akhir.

Manakala aksi satu lagi separuh akhir menyaksikan PSM B yang dibarisi Ahmad Aizat Nor Azmi, Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir dan Hafizul Hayazi Adnan (simpanan) menewaskan Pesenang B dalam aksi dua set 21-19, 21-10.


Syahmi yang dinobatkan pemain terbaik kejohanan. FOTO Ihsan PSM

Tekong negara, Syahmi turut dinobatkan pemain terbaik kejohanan yang menampilkan 24 regu dari dalam dan luar Thailand.

"Kita memutuskan untuk tidak meneruskan aksi final bagi mengelakkan risiko kecederaan dengan saingan Piala Raja Thailand semakin hampir. Penganjur tidak mempunyai masalah.

"Moga persembahan pemain di kejohanan ini mampu mensasar pingat emas di Filipina. Apa yang saya perhatikan terdapat peningkatan dari segi permainan dan semangat berpasukan yang tinggi.

"Perebutan tempat untuk ke Sukan SEA semakin sengit namun begitu saya melihat perkembangan yang positif," jelas ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.

Piala Raja Thailand di Bangkok yang dijadual pada Ahad depan adalah ujian sebenar kemampuan skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 9:35 PM