PEMAIN Felda United, Muhammad Hadin (kanan) dikawal pemain Melaka United, Wan Amirul dalam perlawanan Piala Malaysia 2019 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.


KUANTAN: Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui peluang mara ke suku akhir Piala Malaysia masih terbuka untuk semua pasukan dalam Kumpulan D.

Bekas pemain kebangsaan itu mahu anak buahnya mengekalkan rentak cemerlang dalam tiga baki perlawanan peringkat kumpulan.

“Kemenangan 3-1 ke atas FELDA United FC (malam kelmarin) banyak membantu Melaka United memperbaiki kedudukan dan tiga mata ini juga dapat menggantikan mata yang kami hilang selepas tewas 0-1 kepada Selangor sebelum ini.

“Saya akui peluang untuk semua pasukan masih terbuka dan kami perlu terus bekerja keras bagi memastikan Melaka meneruskan saingan ke suku akhir,” katanya.

Sementara itu, pengendali The Fighters, Nidzam Jamil meluahkan rasa kecewa dengan prestasi tidak konsisten anak buahnya.

Katanya, kekalahan kepada Melaka United di laman sendiri memberi tekanan kepada FELDA United dalam misi mengisi slot lapan pasukan terbaik.

“Kesilapan dengan membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol terlebih dahulu sebelum cuba bangkit tidak sepatutnya berlaku dalam saingan Piala Malaysia.

“Sepatutnya mereka (pemain) sedar semua pasukan mahukan kemenangan dan kesilapan seperti ini tidak boleh diulangi dalam aksi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:30 AM