SOLSKJAER mahu Lindelof dan Maguire di bahagian pertahanan sepanjang musim. FOTO Agensi
AFP

JURULATIH Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mahu Victor Lindelof bergandingan dengan Harry Maguire di bahagian pertahanan sepanjang musim, sekali gus memberi bayangan kabur buat masa depan dua pertahanan England Phil Jones dan Chris Smalling di Old Trafford.

Maguire dijangka mengukuhkan pertahanan kelab yang bolos 54 gol Liga Perdana Inggeris musim lalu selepas menjadi pertahanan termahal di dunia susulan perpindahan bernilai £80 juta (RM405.7 juta) dari Leicester.

Namun Lindelof, selepas beberapa detik kurang meyakinkan dalam kariernya di United, dilihat watak sesuai untuk bergandingan dengan Maguire, selepas tahap kecergasan dan konsistensinya mula memikat pengurus terbabit.

“Saya harap Victor dan Harry tidak memberikan saya alasan untuk bertukar. Tiada kecederaan, penggantungan atau kurang tumpuan,” kata Solskjaer selepas gandingan baharu itu menyerlah ketika menang 4-0 ke atas Chelsea pada hujung minggu pertama kempen itu.

“Kedua-duanya boleh bermain, membaca perlawanan dengan baik. Sudah tentu, Harry dengan kehadirannya di kawasan pertahanan, pasti mana-mana bek tengah akan merasai kehadirannya. Saya pasti Victor akan menikmatinya.”

Kecederaan terhadap Eric Bailly yang mungkin berehat sepanjang tahun ini susulan kecederaan lutut mungkin memberi peluang kepada pertahanan veteran, Jones dan Smalling untuk kembali menyertai kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:53 AM