MAURICIO Pochettino. FOTO REUTERS
Reuters

MENUTUP jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris sebelum liga bermula adalah ‘kesilapan besar’ ketika pemain utama masih lagi menjadi buruan kelab Eropah lain sebelum jendela perpindahan mereka berakhir bulan depan, kata pengendali Mauricio Pochettino.

Jendela perpindahan masuk ke Liga Perdana ditutup pada 8 Ogos, sehari sebelum liga bermula tetapi pemain masih boleh pergi ke kelab utama lain termasuk Sepanyol, Jerman dan Itali sehingga jendela perpindahan Eropah ditutup pada 2 September.

Ia sesuatu perkembangan yang menggusarkan Pochettino yang tidak pasti sama ada pemain tengah berbakat Christian Eriksen akan kekal di kelab London itu, dengan media Sepanyol mengaitkannya dengan perpindahan ke Real Madrid sebelum tamat jendela perpindahan.

“Saya tidak setuju dengan keputusan ini tetapi pada ketika itu mereka yakin itulah yang terbaik untuk semua kelab,” kata Pochettino.

“Tetapi saya fikir (presiden kelab Daniel Levy) dan ramai pemain kini sedar ia satu kesilapan besar.

“Saya harap mereka dapat memperbaikinya musim depan. Kita perlu kembali dan beroperasi seperti juga kelab lain di Eropah kerana saya fikir ia penting apabila anda bertanding di Liga Europa atau Liga Juara-Juara.

“Pasukan Liga Juara-Juar boleh mencetuskan masalah buat pasukan seperti kami dan jelas sekali saya tidak gembira sebagai jurulatih bahawa dalam tempoh tiga minggu kelab dari Eropah mampu menggugat pasukan anda.

“Bagi saya ia bukan satu kebiasaan dan kami perlu kembali kepada asal.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:25 PM