Coutinho dipinjamkan setahun ke Bayern Munich. FOTO REUTERS
AFP

PEMAIN Barcelona, Philippe Coutinho menyertai Bayern Munich secara pinjaman selama setahun dengan nilai 8.5 juta euro (RM43j) dengan pilihan untuk dibeli, menurut kelab Sepanyol itu, hari ini.

“Persetujuan itu akan menawarkan pilihan untuk Bayern membeli pemain itu dengan yuran perpindahan 120j euro (RM607j),” kata Barcelona.

Pemain Brazil berusia 27 tahun itu menyertai Barcelona daripada Liverpool pada Januari 2018 dengan nilai awal 120j (RM607j) termasuk 40j euro (RM202j) sebagai potensi bayaran tambahan.

Penyertaan pemain tengah terbabit di Barcelona tidak menjadi biarpun ramai teruja dengan kehadirannya di Nou Camp.

Coutinho yang bermain di bahagian tengah bersama Brazil, ditukar posisi bermain di bahagian serangan oleh Ernesto Valverde musim lalu tetapi tidak memberikan hasil.

“Bagi saya, perpindahan itu bermakna cabaran baru di negara baru dengan salah satu kelab terbaik di Eropah,” kata Coutinho di laman web Bayern.

“Saya tidak sabar ke arah itu. Seperti FC Bayern, saya mempunyai cita-cita besar dan saya yakin boleh mencapai impian itu bersama rakan sepasukan yang baru.”

kelab Jerman itu berharap Coutinho dapat memantapkan serangan berikutan pemergian pemain veteran, Arjen Robben dan Franck Ribery pada penghujung musim lalu.

“Dengan kreativiti dan kemahiran menyerlah dimilikinya, Philippe adalah pemain yang akan serta merta memantapkan serangan kami,” kata CEO Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:03 PM