Yuhaizad puji semangat tinggi pemain Melaka. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PENGURUSAN Melaka memuji semangat tinggi skuad itu selepas mengatasi FELDA United 3-1 pada aksi di tempat lawan.

Penolong pengurus Melaka, Yuhaizad Abdullah, berkata perjuangan kental berkenaan terus ditagih apabila bertemu lawan sama di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Katanya, corak permainan menarik dipersembahkan di Stadium Tun Abd Razak, Jengka jelas amat positif untuk mengharungi baki saingan peringkat kumpulan.

"Apa yang diharapkan kedudukan Melaka di tangga teratas kumpulan D ketika ini mampu terus dipertahankan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.


Pemain Melaka meraikan jaringan ketika bertemu PKNS FC. FOTO NSTP

"Saingan dijangka bertambah getir termasuk selepas PDRM berjaya mengikat Selangor 1-1 di Shah Alam malam tadi," katanya.

Dengan jarak mata yang rapat, semua pasukan dilihat masih berpeluang mara tetapi apa lebih penting skuad Hang Tuah terus mengekalkan rentak konsisten.

Beliau berkata, tiga mata ketika bertemu The Fighters diakui memberi impak besar dalam kedudukan carta dan aksi di gelanggang sendiri kali ini turut menjadi sasaran tambahan mata.

Yuhaizad turut mengharapkan beberapa pemain cedera termasuk penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan Saiful Ridzuwan Selamat pulih daripada kecederaan.

Malah, jika semua pemain bebas daripada kecederaan pastinya membolehkan jurulatih memiliki strategi lebih besar untuk terus memperkasa persembahan skuad terbabit.

Dua pemain lagi termasuk dalam senarai kecederaan adalah penyerang import Ivory Coast, Davy Angan ketika berdepan The Cops pada aksi pembukaan Piala Malaysia di Paya Rumput.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:40 PM