Zaki (kanan) mengharapkan Negeri Sembilan akan memberi tentangan selepas tewas 1-3 kepada Terengganu di tempat lawan. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


"KITA tidak menaruh harapan tinggi dalam Piala Malaysia kerana sedar pencabar kita dari kelompok Liga Super tapi cuba memberikan saingan terbaik dan tidak akan beri laluan mudah kepada mereka," kata pengurus pasukan, Mohd Khairollah Abd Latif.

Negeri Sembilan tewas semua tiga perlawanan pusingan pertama Kumpulan A Piala Malaysia, termasuk tunduk kepada Terengganu FC (TFC), 3-1, dalam aksi terbaru di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sebelum ini, skuad berkenaan kecundang 1-3 kepada Kedah dan PKNS FC (1-2) di laman sendiri.

Mohd Khairollah berkata, berpandukan perlawanan yang lalu, pemain skuad Hobin Jang Hobin dilihat berusaha keras memberikan saingan namun mereka gagal mengambil peluang.

"Pemain dilihat menunjukkan persembahan yang baik dalam tiga perlawanan sebelum ini dan berjaya mengimbangi kekuatan pasukan lawan tapi mereka tak ambil peluang untuk jaringkan gol.

"Kita akur dengan keupayaan mereka dan kelebihan pasukan dari Liga Super. Apa yang jelas pengalaman pemain menjadi jurang pemisah antara Negeri Sembilan, Kedah, PKNS dan TFC," katanya, hari ini.

TFC cemerlang mengutip sembilan mata dan memimpin Kumpulan A manakala Kedah serta PKNS FC di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing mengutip empat mata.

Mengulas lanjut, Mohd Khairollah berkata, pihaknya akui tidak berpuas hati dengan prestasi dan sumbangan yang diberikan pemain import pasukan itu setakat ini.

"Kita mengharapkan sumbangan yang lebih daripada mereka (pemain import) tetapi apa yang jelas sumbangan mereka hampir sama dengan pemain tempatan," katanya yang merujuk empat pemain terbabit iaitu Shunsuke Nakatake dari Jepun dan tiga pemain dari Brazil iaitu, Almir Neto, Matheus Vila dan Igor Luiz.

Menjelang perlawanan pusingan kedua bertemu TFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini, beliau menuntut anak buah Zaki Sheikh Ahmad itu memberikan persembahan lebih baik bagi mendapatkan kemenangan.

"Pemain tidak boleh putus asa walaupun tewas dalam tiga perlawanan awal sebaliknya perlu terus berusaha memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan kemenangan.

"Kelebihan beraksi di tempat sendiri ketika bertemu TFC, Jumaat nanti, perlu digunakan sebaik mungkin bagi mendapatkan tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 7:04 PM