Baddrol (berbaju gelap) bersama anugerah dimenangi. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap Anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana.my edisi Jun 2019 diterima menjadi tonik membantu skuad Lang Merah memburu tiga mata menentang PKNS FC pada saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar esok.

"Anugerah ini saya anggap sebagai kejayaan untuk pasukan musim ini dan bukannya secara individu.

“Saya perlu berterima kasih kepada pasukan dan pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Anugerah ini satu motivasi mempertingkatkan prestasi saya pada latihan hari ini dan perlawanan esok untuk membantu Kedah mencapai kemenangan.

"Saya dan pasukan fokus untuk perlawaanan menentang PKNS ini dan kami mengharapkan mata penting dilaman sendiri esok,” katanya.

Baddrol juga mengakui faktor tekanan tidak menjadi halangan buat skuad Kedah dalam misi perlawanan wajib menang dalam saingan perlawanan keempat Piala Malaysia ini.

"Tekanan bukan halangan berdepan PKNS FC kerana kami mengimpikan kemenangan dan tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.

Pada Majlis Penyerahan Anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana. my Edisi Jun 2019, Baddrol diumum selaku pemenang kali ketiga sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana.my.

Sebelum ini, kapten Kedah itu turut terpilih pada edisi Ogos 2016 dan Februari 2017.

Beliau menerima undian tertinggi sebanyak 9,836 Undi (39.56%) mengalahkan empat calon lain iaitu Ifedayo Olusegun dari Selangor FA 6,037 Undi (24.28%), Sanjar Shaakhmedov dari Terengganu FC 4,235 Undi (17.05%), Safawi Rasid dari JDT 2,076 Undi (10.88%) dan Ronaldo Henrique Silva dari Perak FA 2051 Undi (8.25%).

Sebagai pemenang, beliau menerima sebuah trofi, bingkai gambar sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM1,500 berserta jersi khas tajaan Great Heights dan gel sukan aktif tajaan Maselfix.

Anugerah itu disampaikan oleh Eksekutif Perundangan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Azzairi Rosle dalam satu majlis ringkas di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 7:26 PM