Muhammad Nur Farhan (kiri) menyampaikan plak jersi kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan semalam.
Muhammad Nur Farhan (kiri) menyampaikan plak jersi kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan semalam.

PROGRAM Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB - Junior Cycling Malaysia (JCM) mengorak langkah yang lebih kukuh dalam usaha melahirkan pelumba yang berkaliber.

Terbaru JCM menandatangani perjanjian kerjasama selama dua tahun bermula Januari lalu, bersama jenama pakaian tempatan, Pro Apparel.

Ia diumumkan bersempena hari terakhir penganjuran Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan dan Kriterium Yayasan CIMB siri kelima di Negeri Sembilan dengan Pro Apparel diumum sebagai rakan pakaian dan kit perlumbaan rasmi JCM.

Tempoh perjanjian berkenaan sudah berkuat kuasa sejak Januari lalu sehingga Disember tahun depan.

“Tahun ini istimewa kerana diberi peluang bekerjasama dengan JCM dalam membangunkan bakal bintang berbasikal negara.

"Saya berharap agar momentum program JCM dapat dikekalkan dan diperhebatkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa seiring dengan misi jenama kami,” jelas Pengarah Urusan Pro Apparel Asia, Muhammad Nur Farhan.

Pro Apparel akan menaja pakaian bagi siri kejohanan kriterium, lumba lebuhraya, ujian masa, trek dan klinik anjuran JCM selain daripada kit perlumbaan buat pelumba yang menyertai Jelajah Eropah dan Australia.

Baru-baru ini, seramai lapan pelumba menyertai jelajah di Eropah bermula dari Belgium dalam satu program pendedahan dan antara kejayaan dicapai adalah kemenangan pelumba Terengganu, Afiq Iskandar di Kriterium De Draai, Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:26 PM