SEBAHAGIAN peserta yang memenangi pingat dalam Kejohanan Persatuan Taekwondo Kebangsaan Malaysia di Kompleks Sukan Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

LEBIH 300 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Persatuan Taekwondo Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Kompleks Sukan Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Peserta beraksi dalam kategori ‘sparring’ dan ‘pattern’ mewakili lapan kelab taekwondo yang bergabung di bawah persatuan berkenaan iaitu Kelab Al Kabir Worrior, AF Martial Arts Academy, Alpha ITF, ANSAR Martial Arts Academy, At Tayyibin, Expert Taekwon DoAcademy, Koeyda dan Perstige Taekwwon Do Club.

Kejohanan dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Amanah Bhd (MAAB), Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz.

Ahmad Saruji berkata, penyertaan membabitkan peringkat umur kanak-kanak dapat menjadikan mereka lebih bijak dan pintar dalam pelajaran di samping dapat mempertahankan diri jika berlaku sebarang kemungkinan atau sebarang perkara tidak diduga.

"Saya menyeru semua pihak memberikan sokongan kepada persatuan dan menyahut dasar kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sihat dan cergas dengan mengamalkan aktiviti tidak kira apa bentuk sukan terutamanya seni bela diri taekwondo," katanya ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Taekwondo Kebangsaan Malaysia, Rahim Abdullah berkata, objektif penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menonjolkan kebolehan masing-masing di dalam seni mempertahankan diri taekwondo malah membentuk disiplin dan peribadi mantap bagi melahirkan insan berkualiti serta dapat berbakti kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:33 AM