LACAZETTE (bawah) dan Aubameyang ditawarkan kontrak baharu. - FOTO Agensi
Agensi

ARSENAL sedia menawarkan kenaikan gaji lebih lumayan kepada Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang dalam usaha memujuk mereka menandatangani kontrak baharu.

Selepas mengharungi jendela perpindahan yang dianggap berjaya, pegawai Gunners kini menumpukan rundingan semula kontrak pemain sedia ada.

Lacazette dan Aubameyang antara pemain menerima gaji tertinggi dengan Lacazette menerima £140,000 seminggu manakala Aubameyang hampir £200,000 seminggu dan kedua-duanya bakal menerima imbuhan lumayan jika menyambung komiten bersama kelab utara London itu.

Arsenal juga sedia memasukkan klausa kewangan membabitkan satu lagi kenaikan gaji jika kedua-duanya dapat membawa semula kelab ke Liga Juara-Juara di samping bonus lumayan.

Tetapi Arsenal tidak dapat memberi jaminan gaji mereka setanding Mesut Ozil susulan kos pembayaran gaji sudah sampai tahap maksimum.

Bagaimanapun, pulangan hasil beraksi di Liga Juara-Juara dapat membantu Arsenal merealisasikan hasrat mereka.

Lacazette dan Aubameyang membuktikan mereka aset berharga kepada skuad Unai Emery dengan menghasilkan 51 jaringan sejak permulaan musim lalu tetapi masa hadapan kedua-duanya menjadi persoalan jika kelab tidak berusaha memujuk mereka melanjutkan kontrak.

Aubameyang kini memasuki dua tahun terakhir kontrak yang pastinya memeningkan Arsenal jika dia tidak menandatangani perjanjian baharu sebelum musim panas akan datang.

Lacazette pula hanya tinggal tiga musim lagi tetapi ketua perhubungan bola sepak, Raul Sanllehi menegaskan beliau tak mahu pemain memasuki dua tahun terakhir kontrak mereka.

Bercakap Jumaat lalu, Emery berkata: “Sudah tentu mereka pemain sangat penting bagi kami dan kontrak mereka perlu seimbang.”

Manakala Lacazette menjanjikan lebih banyak gol dengan menegaskan: “Liga Perdana belum menyaksikan kemampuan sebenar Lacazette. Mungkin anda menyaksikan yang sangat bagus tapi bukan yang terbaik. Saya boleh menjaringkan lebih banyak gol dan lebih konsisten.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:17 PM