Afif akan beraksi di Kuala Terengganu. FOTO fail NSTP
Afif akan beraksi di Kuala Terengganu. FOTO fail NSTP
Malik Muhamad


PELUMBA kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran kini memegang status selaku pendahulu keseluruhan kelas CP150 dijangka menggegar Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus pada pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bermula 23 dan 24 Ogos ini.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu tampil konsisten untuk berada dalam kelompok tiga pelumba teratas di setiap pusingan setakat ini sudah pastinya mahu berada di atas podium sebagai hadiah buat para peminatnya di Terengganu.

Selain Afif, dua lagi anak jati Terengganu yang akan beraksi dalam kelas CP150 adalah Md Hafiza Rofa yang menggalas cabaran pasukan ONEXOX TKKR SAG Team serta Md Harith Farhan Baharin yang beraksi untuk pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Tiga pelumba kelahiran Terengganu itu pastinya mendapat suntikan semangat untuk bergelar sebagai juara kerana bakal beraksi di hadapan penyokong mereka sendiri.

“Namun begitu kelebihan itu bukan jaminan buat pelumba itu untuk melakar penamat kejayaan kerana keadaan jentera turut memainkan peranan besar bagi menentukan kejayaan.

“Pelumba memiliki keyakinan, kestabilan jentera dan kemampuan untuk menawan selekoh ketika berada di litar sudah pasti bakal menguasai saingan di Terengganu nanti.

“Justeru, para peminat di Terengganu nanti boleh menjangkakan sajian yang lebih menarik kerana barisan pelumba yang menunggang jentera Honda pasti bangkit untuk menyekat penguasaan jentera Yamaha,” kata pegawai media Cub Prix, Asan Ahmad.

Beliau berkata, edisi di Terengganu juga sentiasa menyajikan kejutan dan sejak tahun 2009, gelaran juara bagi kelas perdana ini silih berganti.

“Sejak edisi 2009, hanya dua pelumba mampu meraih gelaran juara sebanyak dua kali pada saingan di Terengganu iaitu Elly Idzlianizar Ilias pada 2009 dan 2012 (ketika itu kelas Expert dan CP130) manakala Kasma Daniel Kasmayuddin juara edisi 2016 di Kemaman dan 2018 di Kuala Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:36 PM