Saiful Affendy Sapran


PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berharap badi kekalahan kepada Michelle Li akan berakhir apabila kedua-duanya bakal bertemu pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland, esok.

Soniia berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Hong Kong, Yip Pui Yin 21-8, 21-18 dalam tempoh 37 minit pada pusingan pertama, hari ini.

Namun Michelle yang bakal ditemui sering menyukarkannya apabila rekod pertemuan menyaksikan dia tewas ketiga-tiga perlawanan dengan lawan dari Kanada itu.

Malah Michelle pasti lebih cergas berbandingnya selepas mendapat bye di pusingan pertama. Kali terakhir kedua-duanya bertemu adalah pada Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu yang menyaksikan Soniia tewas straight set.

"Saya berpuas hati dengan prestasi di set pertama hari ini. Dia (Pui Yin) bagaimanapun mempamer aksi lebih baik di set kedua.

"Tapi secara keseluruhan saya dapat menguasai perlawanan. Esok adalah halangan lebih sukar untuk di atasi.

"Saya pernah bertemunya dan tewas kesemua perlawanan," katanya merujuk kepada pertemuan dengan Michelle.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan ketiga selepas terpaksa berhempas menewaskan wakil China, Lu Guang Zu 12-21, 21-14, 21-15 di pusingan kedua semalam.

Beregu profesional negara, Mohamad Arif Ab Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub pula tewas 12-21, 19-21 kepada pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:49 PM