Aksi skuad wanita Belgium (jersi merah) dalam perlawanan persahabatan menentang Jepun. FOTO File Agensi
Agensi

BELGIUM menjadi negara ke-10 berpotensi menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Wanita 2023 selepas menyertai bidaan untuk penganjuran kejohanan itu.

Kejohanan berkenaan menyaksikan penambahan dari 24 kepada 32 pasukan bagi edisi 2023, dengan Persatuan Bolasepak Diraja Belgium antara yang terbaru menyatakan minat penganjuran secara rasmi.

Badan induk bola sepak dunia FIFA berkata terdapat minat tinggi yang belum pernah terjadi sebelum ini berikutan kejayaan yang mengagumkan pada Piala Dunia di Perancis musim panas lalu.

Semua negara kini hanya mempunyai masa sehingga 2 September untuk mengesahkan minat mereka.

Sebanyak 10 ahli gabungan persekutuan yang menyatakan minat menjadi tuan rumah pada Piala Dunia Wanita 2023 antaranya Argentina, Australia, Bolivia, Brazil, Colombia, Jepun, New Zealand, Afrika Selatan, Korea Utara (bidaan bersama Korea Selatan) serta Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:39 PM