Antara pemain Skuad B-18 negara yang dikendalikan jurulatih Brad Maloney di Padang Wisma FAM. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


SKUAD bawah 18 tahun (B-18 )negara yang muncul naib juara kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 akan menjalani latihan di Timur Tengah sebagai persediaan berdepan pusingan kelayakan kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19, hujung tahun ini.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, ia adalah sebahagian perancangan skuad kendalian Brad Maloney yang akan menempuh pusingan kelayakan kejuaraan AFC di Kemboja dari 2 hingga 10 November ini.

Katanya, aksi berkenaan dapat memberikan gambaran berbeza terhadap permainan bola sepak yang lebih moden dan bakal digunakan sebaiknya bagi meningkatkan tahap persembahan pasukan.

“Setiap kali ke luar negara kami akan memberikan tumpuan untuk memperbaiki teknik dan menimba pengalaman.

“Bermain menentang pasukan handalan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan tahap ketahanan fizikal pemain.

“Peluang ini juga dapat membuka mata pemain untuk melihat cara permainan yang lebih agresif. Kita dah berjumpa dengan Thailand dalam peringkat kumpulan (kejuaraan AFF) dan tahap fizikal pemain harus ditingkatkan,” katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G bersama Thailand, Brunei Darussalam, Northern Mariana Islands dan tuan rumah, Kemboja.

Skuad negara akan memulakan kempen menentang Kemboja pada 2 November, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Thailand pada 10 November.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:33 PM