SONIIA CHEAH
Saiful Affendy Sapran

PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berharap badi kekalahan kepada Michelle Li akan berakhir apabila kedua-duanya bakal bertemu pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland hari ini.

Soniia berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Hong Kong, Yip Pui Yin 21-8, 21-18 dalam tempoh 37 minit pada pusingan pertama semalam.

Namun Michelle yang bakal ditemui sering menyukarkannya apabila rekod pertemuan menyaksikan dia tewas ketiga-tiga perlawanan dengan lawan dari Kanada itu.

Malah Michelle pasti lebih cergas berbandingnya selepas mendapat bye di pusingan pertama.

Kali terakhir kedua-duanya bertemu pada Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu yang menyaksikan Soniia tewas straight set.

“Hari ini (semalam) saya berpuas hati dengan prestasi di set pertama. Dia (Pui Yin) bagaimanapun mempamer aksi lebih baik di set kedua.


LEE ZII JIA

“Tapi secara keseluruhan saya dapat menguasai perlawanan. Esok (hari ini) adalah halangan lebih sukar untuk diatasi. Saya pernah bertemunya dan tewas semua perlawanan,” katanya.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan ketiga selepas berhempas menewaskan wakil China, Lu Guang Zu 12-21, 21-14, 21-15 di pusingan kedua semalam.

Beregu profesional negara, Mohamad Arif Ab Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub pula tewas 12-21, 19-21 kepada pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:05 AM