SOUZA (kiri) diasak Mazraoui dalam aksi d Nicosia, awal pagi tadi. - FOTO EPA
Reuters

AJAX Amsterdam semakin menghampiri saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas seri 0-0 dengan APOEL Nicosia di tempat lawan dalam aksi playoff pertama, awal pagi tadi.

Slavia Prague turut menang 1-0 ke atas kelab Romania, CFR Cluj hasil jaringan menarik Lukas Masopust manakala Club Bruges menewaskan kelab Austria, LASK Linz dengan jaringan sama.

Ajax berjaya mengekalkan skuad yang mara separuh akhir musim lalu dengan hanya Matthijs de Ligt dan Frenkie de Jong berpindah ke pasukan lain dan menyenaraikan tujuh daripada kesebelasan yang menentang Tottenham Hotspur pada Mei lalu.

Walaupun bermula baik di Stadium GSP itu, mereka harus berterima kasih kepada penjaga gol, Andre Onana dan beraksi 10 pemain ketika permainan berbaki 10 minit selepas Noussair Mazraoui di perintah keluar padang.

Musa Suleiman mencetuskan banyak masalah kepada benteng Ajax dan hampir menjaringkan gol pertama pada babak pertama tetapi rembatannya tersasar selain percubaan Nicholas Ioannou terkena pertahanan lawan.

APOEL meningkatkan asakan selepas rehat menerusi ledakan kencang Lucas Souza namun ditampan keluar Onana dan tandukan Andrija Pavlovic tersasar melewati palang gol.

Rembatan jarak dekat Suleiman terkena jaring sisi sebelum Onana menyelamatkan percubaan Souza dan Ajax cekal bertahan sehingga tamat perlawanan.

Slavia menamatkan kebuntuan di Romania menerusi jaringan voli menarik Masopust yang menerima hantaran sepakan sudut Nicolae Stanciu.

Jaringan awal penalti Hans Vanaken membolehkan Bruges menang di Austria menewaskan LASK Linz yang memburu slot peringkat kumpulan buat pertama kali.

Lois Openda dikasari kapten Linz, Gernot Trauner dan penalti hanya diberikan dua minit selepas reviu VAR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:16 AM