SALAH menang Kasut Emas dua tahun berturut-turut. - FOTO Agensi
Agensi

MOHAMED Salah menegaskan dia gembira di Liverpool walaupun Gary Neville menjangkakan bintang Mesir itu bakal meninggalkan Anfield dalam masa 12 bulan.

Salah memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana dua tahun berturut-turut sejak berpindah dari Roma pada 2017 dan memenangi Liga Juara-Juara bersama skuad Jurgen Klopp musim lalu.

Menurutnya dia belum terfikir meninggalkan Liverpool. “Saya gembira di Liverpool dan bandarnya. Saya sayang peminat dan mereka juga sayangkan saya, jadi saya sangat gembira di sini,” katanya kepada wartawan.

Neville mendakwa: “Salah akan angkat kaki dalam masa 12 bulan lagi, saya dapat merasakannya.

'Dia [Carragher] tahu tapi enggan menyatakannya. Dia akan tinggalkan Liverpool, saya yakin. Anda boleh nampak, anda boleh rasa dan hidu.”

Salah beraksi dalam semua tiga perlawanan Liverpool minggu lalu ketika menewaskan Norwich 4-1, Chelsea menerusi penentuan penalti untuk menjuarai Piala Super dan menewaskan Southampton 2-1 pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:01 AM