CULEY (belakang tengah) ceria di podium selepas menjuarai peringkat ketiga Tour of Indonesia, hari ini. — FOTO Team Sapura
Azlan Muhammad Zain


SELEPAS menanti dua peringkat, Team Sapura Cycling (TSC) akhirnya memenangi peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Tour of Indonesia menerusi pelumba dari Australia, Marcus Culey hari ini.

Culey menamatkan perlumbaan sejauh 195.9km dari Kota Batu ke Jember dengan masa empat jam 15 minit 35 saat dengan menafikan cabaran pelumba Pro Touch, Rohan Du Plooy di kedudukan kedua manakala Yudai Arashiro dari Kinan Cycling Team ketiga.

Terdahulu pada peringkat pertama dari Yogjakarta ke Madiun, pelumba TSC dari Jerman, Mario Vogt terpaksa berpuas hati di tangga ketiga disusuli kedudukan kedua menerusi Cristian Raileanu pada peringkat kedua dari Madiun ke Kota Batu.

Bagaimanapun pasukan benua negara itu akhirnya berjaya memenangi peringkat ketiga dengan saingan berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu masih berbaki dua peringkat.

TSC kini mendahului pasukan terbaik dalam kalangan 18 pasukan bertanding apabila mengumpul 36’22:26 diikuti Kinan dari Jepun yang ketinggalan 6:33s.

Turut bersaing di Indonesia Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yang mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia menerusi pelumbanya dari Singapura, Goh Choon Huat selepas menyarungnya sejak peringkat pertama.

Mereka akan meneruskan peringkat keempat esok dari Jember ke Banyuwangi (151.9km) disusuli peringkat terakhir Jumaat ini sejauh 143.6km dari Gilimanuk ke Gianyar untuk menentukan pemenang setiap kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 6:57 PM