ANTARA pemain B-18 negara yang pulang dari Ho Chi Minh, malam tadi. — FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan memberi perhatian serius berhubung beberapa pasukan Liga Super yang berminat untuk mendapatkan pemain skuad bawah 18 (B-18) tahun kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa teknikal dan pembangunan belia FAM yang dipengerusikan olehnya dua minggu lagi.

“Mungkin daripada mesyuarat itu akan ada satu formula atau keputusan mengenai perkara ini.

“Ia sememangnya perkara yang akan diberi perhatian serius dan keputusan yang rasional perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup program Three Pulse di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Beberapa pasukan dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain B-18 negara selepas mereka muncul naib juara Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Antara pasukan itu Selangor dan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:36 PM