MUSTAZA AHMAD
Firdaus Hashim


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) diharap segera mengkreditkan baki geran tahunan RM1.5 juta buat pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pasukan Liga Perdana yang sepatutnya diterima pada 15 Ogos lalu.

Menerusi luahan seorang pegawai pasukan Liga Perdana di laman sosial, pasukannya masih menanti baki geran selepas menerima separuh daripada RM1 juta buat pasukan divisyen dua pada 15 Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya tidak diberi sebarang notis mengenai kelewatan geran oleh badan penganjur liga tempatan itu sedangkan sudah melewati tujuh hari dari tarikh asal janji pemberian baki geran.

“Kalau kita lambat sehari kena denda 200k (RM200,000),” katanya menjawab soalan netizen di laman sosial, semalam.

Pasukan Liga Super turut terkesan dengan kelewatan pengagihan baki geran berkenaan, namun mengakui masih berharap ia dapat diselesaikan segera sebelum aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia berakhir.

“Semua pasukan (Liga Super) tak dapat lagi. Cuma boleh sahkan pasukan kami tak dapat lagi tapi masih bersabar,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pada 15 Julai lalu, MFL menamatkan penantian pasukan bertanding mengenai agihan geran tahunan atau hak penyiaran selepas membuat pembayaran bagi fasa pertama.

Menerusi kaedah baharu itu, badan penganjur liga tempatan itu berjanji menyerahkan wang hak penyiaran pasukan sebelum 15 Julai dengan mengekalkan jumlah RM3 juta untuk pasukan Liga Super dan RM1 juta kepada pasukan Liga Perdana.

Pembayaran hak penyiaran dibuat sebanyak dua kali, dengan pembayaran pertama pada pertengahan Julai dan disusuli pembayaran akhir 15 Ogos lalu.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad mengesahkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu sedang berusaha untuk melengkapkan proses dokumentasi untuk menerima dana bagi menyelesaikan baki bayaran hak penyiaran kepada pasukan bertanding musim ini.

Jelas Mustaza yang juga Setiausaha UiTM FC, MFL sentiasa komited menunaikan janji kepada semua pemegang taruh sebagaimana mereka berjaya membuat pembayaran pertama hak penyiaran kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu.

Katanya, beliau berharap pasukan Liga M dapat bersabar untuk menunggu MFL menyelesaikan bayaran kedua hak penyiaran dalam masa terdekat.

“Pertama saya ingin katakan kepada semua pemegang taruh Liga M, MFL sedang berusaha keras untuk melaksanakan hak penyiaran. Semua sedia maklum kita sedang dalam proses dokumentasi dengan pihak tertentu bagi melaksanakan pembayaran kali kedua.

“Saya berharap semua pasukan harap bersabar dan MFL akan melaksanakan tanggungjawab kita iaitu menjelaskan baki hak penyiaran tersebut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:00 AM