Tchetche (tengah) meraikan jaringan ketika menentang NS. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PENYERANG Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mahu terus 'mengganas' lagi apabila berdepan Negeri Sembilan pada pusingan kedua peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pemain Ivory Coast penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu muncul watak pemusnah selepas mencipta jaringan hatrik menumpaskan skuad Hobin Jang Hobin 3-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

"Kami bawa semangat yang membara dari Terengganu untuk menang dalam perlawanan ini.

Itu matlamat utama kami selepas menumpaskan pasukan Negeri Sembilan pada aksi pusingan pertama di tempat sendiri.

“Saya begitu gembira dapat menjaringkan tiga gol, saya mahu mengulangi lagi di tempat lawan tetapi apa yang lebih penting ialah kemenangan pasukan menjadi keutamaan kami, siapa yang jaringkan gol itu tidak begitu penting.

“Kami perlu fokus 100 peratus untuk menang bagi mengukuhkan kedudukan selepas mengutip sembilan mata setakat ini sekaligus mengesahkan tempat ke suku akhir kerana Piala Malaysia menjadi rebutan semua pasukan,” ujar anak bongsu enam beradik itu.

Berdasarkan senarai penjaring setakat ini, Tchecthe kini mendahului dengan mengumpul lima gol termasuk dua jaringan ketika skuadnya menumpaskan Kedah 2-0 pada aksi kedua.

Pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain menuntut pemain mengulangi aksi cemerlang dan mampu melangkah lebih awal ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 4:01 PM