Agensi

WAYNE Rooney dilayangkan kad merah kerana menyiku muka pemain lawan ketika pasukannya, DC United tewas 2-1 kepada New York Red Bulls, semalam dalam aksi Major League Soccer (MLS) di Stadium Audi Field, Washington.

Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai perlawanan.

Bekas bintang Manchester United dan England itu kini berdepan detik memalukan menamatkan karier dalam saingan MLS menjelang perpindahannya ke Derby sebagai pemain-jurulatih pada Januari.

Episod terbaru mengejutkan pemain berusia 33 tahun itu hadir ketika dia berada di depan pintu gol sewaktu sepakan percuma pada m-21 menyaksikan bekas bintang Everton itu menyiku muka Cristian Casseres Jr.

Sebaik bola tiba di depan pintu gol, Rooney kelihatan seperti sengaja menyiku muka Casseres yang kemudian rebah serta-merta di atas padang menahan kesakitan.

Rooney meninggalkan lawannnya itu dalam keadaan terbaring sebelum pengadil, Ismail Elfath memberhentikan perlawanan.

Pasukan perubatan kemudian bergegas untuk memeriksa bahagian kepala pemain New Yokr itu sementara pengadil melihat ulang tayang rakaman di skrin televisyen.

Selepas merujuk kepada Pengadil Bantuan Video (VAR), Elfath berlari semula ke dalam padang dan melayangkan kad merah kepada Rooney mengarahkan supaya meninggalkan padang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 7:45 PM
Rooney meniggalkan padang selepas kena kad merah. FOTO USA TODAY