LIU Ying (kiri) dan Peng Soon ketika menentang beregu Jepun, hari ini. — FOTO EPA
Saiful Affendy Sapran


BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menyamai pencapaian tahun lalu apabila sekali lagi mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland.

Peng Soon-Liu Ying yang turun sebagai pilihan kelima bagaimanapun terpaksa melalui detik getir sebelum menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 17-21, 21-13, 21-14 pada pusingan ketiga hari ini.

Tewas set pertama, gandingan negara yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 itu bagaimanapun kembali menemui rentak pada set kedua dan penentuan.

Pada aksi suku akhir esok, Peng Soon-Liu Ying berdepan tugas sukar bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

“Saya akui prestasi saya dengan Peng Soon hari ini tak berapa bagus.

“Esok pasti lebih sukar sebab saya jangkakan mereka ada kelebihan beraksi di gelanggang di sini,” kata Liu Ying ketika dihubungi.

Rekod pertemuan menyaksikan Peng Soon-Liu Ying memenangi empat daripada enam pertemuan dengan lawan mereka itu.

Kali terakhir kedua-dua pasangan itu bertemu pada Terbuka Jepun bulan lalu yang menyaksikan Peng Soon-Liu Ying menang dalam dua set.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:36 PM