Azlan Muhammad Zain


HASIL latihan di Eropah mula dipamerkan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang yang dilihat mempunyai kekuatan luar biasa untuk memastikan emas acara pecut individu pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Mungkin bukan sepenuhnya hasil daripada peningkatan berat badan baharunya namun ia sudah memadai untuk bergelar juara.

Dia yang mewakili Team Azizul menghiburkan penonton dengan mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengejar dan menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Jeone pada perlumbaan final kedua.

“Final (perlumbaan kedua) agak sengit susulan perangkap yang dilakukannya.


HENJUTAN Azizul dalam laluan memenangi emas pecut individu. — FOTO Iqmal Haqim Rosman

“Sejak awal saya tidak menggunakan 100 peratus kekuatan kecuali perlumbaan terakhir itu. Saya terperangkap apabila dia memecut awal hingga terpaksa kejar kembali lebih dua pusingan namun akhirnya menang,” katanya.

Terdahulu pelumba bergelar ‘The Pocket Rocketman’ itu tidak bermasalah memenangi perlumbaan pertama aksi final.

“Kejohanan ini lebih kepada mencuba taktikal dan penggunaan gear. Saya gembira mendapat tentangan sengit dan harap ia berterusan dalam keirin esok,” katanya.

Rakan senegara, Shah Firdaus Sahrom yang mewakili Yayasan Sime Darby terpaksa akur terlepas gangsa kepada pelumba Indonesia, Puguh Armadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:50 PM
AZIZUL bangga di podium selepas memenangi acara pecut individu di Nilai, hari ini. — FOTO Iqmal Haqim Rosman