SARRI dijangkiti radang paru-paru. - FOTO AFP
AFP

JURULATIH Juventus, Maurizio Sarri terpaksa melupakan dua aksi pertama juara bertahan Serie A itu menentang Parma dan Napoli selepas dirawat akibat jangkitan radang paru-paru, menurut jurucakap kelab dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

"Maurizio Sarri menjalani ujian lanjut hari ini selepas dia menunjukkan petanda pemulihan yang positif.

"Untuk pulih sepenuhnya daripada penyakit menimpanya sejak beberapa hari lalu, beliau perlu berehat daripada mengendalikan pasukan dalam dua aksi pertama Serie A menentang Parma dan Napoli.

"Keputusan ini membolehkan beliau pulih secara optima,” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun Sarri, 60, hadir di pusat latihan Juventus semalam sebelum berbincang dengan staf kejurulatihan.

Juara bertahan lapan kali, Juventus membuka kempen liga dengan menentang Parma di Stadio Ennio Tardini, malam esok dan melayakan naib juara musim lalu, Napoli di Turin pada 31 Ogos.

Sarri menjadi jurulatih Napoli tiga musim sebelum berpindah ke Chelsea tahun lalu dan membawa kelab Liga Perdana itu menjuarai Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:30 AM