Pepe pamer aksi mantap ketika menentang Burnley. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN yang memecah rekod pembelian Arsenal, Nicolas Pepe sedia disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Liverpool di Anfield dalam aksi Liga Perdana, awal pagi Ahad ini, menurut pengurus, Unai Emery said.

Pepe yang tiba dari Lille dengan harga 72 juta pound (RM369 juta) hanya beraksi sebagai pemain simpanan dalam dua perlawanan sebelum ini tetapi berjaya memikat penonton menerusi gandingan mantap bersama Pierre-Emerick Aubameyang ketika menentang Burnley.

"Perkara paling penting ialah membantu dia dan keluarganya berasa selesa di sini,” kata Emery dalam sidang akhbar awal pagi tadi.

"Kini Pepe sudah berada di sini tiga minggu. Dia tidak beraksi pramusim tetapi itu tidak menjadi masalah malah semakin menunjukkan peningkatan. Contohnya, dia beraksi 15 minit ketika menentang Newcastle, kemudian 45 minit ketika menentang Burnley.

"Untuk esok, dia bakal menikmati masa lebih lama. Saya akan tentukan hari ini tetapi kemajuan Pepe sangat positif dan ini sangat bagus untuk pasukan dan dirinya sendiri."

Liverpool kini mendahului liga selepas dua kemenangan berturut-turut ke atas Norwich City dan Southampton manakala Arsenal kedua berdasarkan perbezaan jaringan selepas mengatasi Newcastle United dan Burnley.

Emery turut mengesahkan Arsenal akan memantau sehingga saat akhir kecergasan pemain tengah, Mesut Ozil dan Granit Xhaka menjelang aksi di Anfield, venue yang menyaksikan kekalahan mereka 1-5 musim lalu.

Ozil masih belum beraksi akibat masalah kesihatan manakala Xhaka bergelut dengan kecederaan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:58 AM