DIGNE pertahanan kental Everton. - FOTO Agensi
Reuters

PERTAHANAN Everton, Lucas Digne pulih kecederaan otot dan sedia beraksi menentang Aston Villa awal pagi esok, menurut pengurus, Marco Silva.

Pertahanan antarabangsa Perancis, Digne mengalami kecederaan ketika menewaskan Watford 1-0 hujung minggu lalu untuk kemenangan pertama mereka musim ini selepas seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace dalam aksi pembukaan.

Rakan seposisi, Leighton Baines turut disahkan cergas selepas tersisih dua aksi sebelum ini tetapi pemain baharu mereka, Fabian Delph terpaksa diketepikan perlawanan menentang bekas kelabnya itu akibat kecederaan paha.

"Digne boleh beraksi, begitu juga Leighton. Cuma Fabian sahaja yang belum pulih,” kata Silva kepada wartawan.

Seorang lagi penyerang baharu, Alex Iwobi mungkin bakal diturunkan selepas memanaskan bangku simpanan ketika menentang Watford.

"Dia bermula sangat lambat...ini minggu kedua dia bersama kami. Kami perlu memantau situasi ini dengan memberikan dia masa untuk lebih cergas dan semakin baik. Saya rasa dia sedia membantu pasukan,” kata Silva lagi.

Pemain tengah, Morgan Schneiderlin turut bakal beraksi selepas digantung satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:18 AM