MURRAY fokus acara perseorangan. - FOTO Agensi
AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia, Andy Murray dijangka menyertai Jelajah Challenger buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun di Terbuka Rafa Nadal di Manacor, Sepanyol minggu hadapan.

Murray, 32 tahun, mengesahkan tidak akan beraksi acara beregu di Terbuka Amerika Syarikat bagi menumpukan acara perseorangan di kejohanan kelas dua itu bagi meningkatkan tahap keyakinannya.

Selepas menjalani pembedahan pangkal paha awal tahun ini, Murray memulihkan kecergasan fizikal dengan beraksi acara beregu, bermula di Queen pada Jun.

Tetapi dia kembali fokus acara individu awal bulan ini dan tewas straight set kepada Richard Gasquet di Cincinnati.

Dia kemudiannya tewas sekali lagi kepada pemain Amerika Syarikat, Tennys Sandgren pada pusingan pertama Terbuka Winston-Salem.

Juara tiga kali Grand Slam itu mahu mencuba nasib dalam kejohanan kurang berprestij buat kali pertama sejak 2005 ketika dia menyertai kejohanan Challenger di Mons pada usia 18 tahun.

Pemain lain yang turut mengambil bahagian di Sepanyol itu ialah Mischa Zverev yang mengejutkan Murray di pusingan keempat Terbuka Australia 2017.

Lukas Rosol turut mengambil bahagian. Pada 2012 dia mengejutkan Nadal pada pusingan kedua Wimbledon.

Nadal sudah pasti tidak beraksi dalam misinya memburu gelaran keempat Terbuka AS di New York.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 9:14 AM