Talib (kanan) akui Piala Raja Thailand ukuran sebenar skuad negara. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain


SELEPAS lulus ujian awal di Piala Datuk Bandar Hatyai, barisan 12 pemain sepak takraw negara bakal diuji dengan cabaran sebenar hujung minggu ini.

Skuad kendalian Abdul Talib Ahmad bakal menyertai edisi ke-34 Piala Raja Thai di Bangkok yang bermula pada Ahad hingga 1 September nanti.

Ia dijangka menjadi kayu pengukur sebenar pemain negara dengan kejohanan disertai banyak negara terutamanya tuan rumah, Thailand.

Malah empat tekong yang terpilih turut menjadi tumpuan dan peluang membuktikan kemampuan selepas ketiadaan dua tekong utama, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak.

"Empat tekong yang disenarai mempunyai kelebihan masing-masing dengan variasi serangan berbeza.

Saya mengharapkan mereka dapat bermain baik seperti yg dirancang dalam latihan," jelas Abdul Talib.

Mengetuai senarai tekong adalah Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Said Ezwan Said De, Ahmad Aizat Nor Azmi dan Muhammad Syahmi Husin.

Lebih memeritkan situasi apabila kapten negara dan pengumpan berpengalaman, Mohd Farhan Adam masih belum pulih daripada kecederaan sekali gus tersisih dari skuad kali ini.

Abdul Talib meletakkan sasaran final dalam acara regu dan berpasukan regu selain tidak meletakkan sasaran pingat dalam acara berpasangan.

"Apa yang penting mutu permainan yang baik kerana barisan jurulatih dapat menilai kelebihan dan kelemahan yg perlu diatasi menjelang Sukan SEA nanti," tambahnya.

Pada minggu lalu, dua regu negara berjaya mara final dan menjulang Piala Datuk Bandar Haytai dalam saingan antara regu dari dalam dan luar Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:18 PM