Maradona akui pasukan boling wanita negara berdepan saingat sengit di Las Vegas. FOTO NSTP
Nor Hairulnizam Wahid


SKUAD tenpin boling wanita dijangka berdepan saingan sengit untuk mempertahankan gelaran pasukan terbaik pada Kejohanan Wanita Dunia yang berlangsung di Las Vegas, bermula hari ini.

Hakikat itu diakui sendiri Setiausaha Agung Kongres Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok selepas melihat kekuatan skuad yang bertanding kali ini membabitkan 34 negara.

Malaysia membariskan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Natasha Roslan, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan pendatang baharu, Nerosha Keligit yang menggantikan Shalin Zulkifli kali ini.

“Ini akan menjadi Kejohanan Wanita Dunia yang paling mencabar buat skuad negara apabila banyak pasukan menurunkan pemain boling berpengalaman mereka,” kata Maradona.

“Amerika Syarikat, Mexico, Colombia, Sweden dan Jerman memang kuat, tidak dilupakan pasukan Asia dengan Korea Selatan, Singapura malah Indonesia yang menurunkan skuad yang lebih matang.”

Begitupun pada masa sama tuah mungkin menyebelahi skuad negara yang mulai membuat latihan rasmi esok dengan ‘lane pattern’ yang digunakan pada kejohanan kali ini.

“Kami agak bernasib baik dengan ‘lane pattern’ selepas diumumkan mereka menggunakan jenis 39 feet Seoul, yang pernah digunakan pada Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini,” kata Maradona.

“Kita berharap ia akan memberi semangat dan keyakinan kepada pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:48 PM