Firmino perlu disekat jika Arsenal tidak mahu kecewa. FOTO REUTERS
Agensi

ARSENAL sudah pun berdepan trio serangan digeruni bertandang ke Liverpool tetapi mereka perlu lebih waspada terhadap sentuhan penyudah dimiliki oleh Roberto Firmino di Anfield, malam esok.

Mohamed Salah dan Sadio Mane pasti memberikan ancaman tetapi Firmino adalah pemain perlu ‘disenyapkan’ oleh Gunners sekiranya mahu menjadi pasukan pertama meninggalkan padang keramat Reds itu dengan tiga mata Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Crystal Palace melakukannya dua tahun lalu.

Penyerang Brazil itu menjadi duri dalam daging buat skuad Arsenal sejak beberapa tahun lalu apabila menjaringkan lapan gol dalam lapan pertemuan antara mereka.

Pada Disember lalu juga, bisa Firmino terbukti apabila meledak hatrik ketika pasukan Jurgen Klopp membelasah skuad kendalian Unai Emery 5-1.

Seperkara lagi perlu dibimbangkan dalam statistik Gunners adalah ketajaman penyudah Firmino setiap kali berdepan dengan mereka.

Lapan gol sejak beberapa perlawanan lalu dilakukan menerusi 11 percubaan ke arah pintu gol.

Jika diberikan peluang pada perlawanan kali ini biarpun benteng Arsenal kerap dipuji mempamer peningkatan, Firmino berkemungkinan masih dapat menembusinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:58 PM