PENALTI Pogba diselamatkan Patricio di Molineux. — FOTO premierleague.com
AFP

OLE Gunnar Solskjaer enggan menamakan pengambil sepakan penalti Manchester United di sebalik kekecohan susulan kegagalan Paul Pogba menyempurnakan penalti menentang Wolves awal pagi Selasa lalu yang menjejaskan peluang Red Devils melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Pengurus United itu dikritik selepas Pogba gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali keempat dalam tempoh setahun bersama United, seminggu selepas Marcus Rashford meneruskan rekod sempurnanya menerusi penalti dengan menjaringkan gol pembukaan menentang Chelsea.

Rui Patricio menyelamatkan sepakan pemenang Piala Dunia dari Perancis ketika perlawanan itu berakhir 1-1, namun di sebalik berdepan kritikan kekurangan kepimpinan, Solskjaer berkata, beliau akan meneruskan polisi dengan Pogba dan Rashford ditugaskan mengambil sepakan penalti.

“Saya yakin anda akan melihat Paul Pogba menjaringkan penalti buat Man United sekali lagi,” kata Solskjaer. “Tunggu saja apabila kami mendapat peluang seterusnya.


RASHFORD sumbat gol pertama menerusi penalti ketika menentang Chelsea. — FOTO premierleague.com

“Kami berlatih sepakan penalti, Marcus dan Paul masih melakukannya. Marcus atau Paul akan menjaringkan penalti berikutnya, saya yakin mereka boleh.

“Kami kecewa tidak menang perlawanan itu tapi bercakap lebih sukar apabila anda tidak meraih keputusan baik.

“Bukannya bermaksud terpulang kepada pemain, kami mencalonkan dua nama dan sepanjang musim anda ada perlawanan yang mana mereka tidak bermain dan bagus untuk mengetahui mereka ada di sana dan ditugaskan untuk mengambil penalti.”

Kegagalan Pogba bagaimanapun memberi impak lebih teruk kerana dia menjadi sasaran kecaman perkauman di dalam talian selepas perlawanan itu.

United meminta syarikat media sosial untuk berusaha lebih melindungi pengguna mereka dan Twitter bersetuju bertemu wakil kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:14 PM